cursor

Tuesday, 9 June 2015

RAMADHAN AL-MUBARAK

Salam Ramadhan yang bakal muncul tidak lama lagi اللهم بارك لنا في شعبان وبلغنا رمضان Ya Allah Berkatilah kami dalam bulan Sya'ban dan Sampaikan kami ke bulan Ramadhan.
Al-Faqir dan semua warga Pusat Pengajian Islam Ahlussunnah Waljamaah Ar-Rifaie Seksyen 9 Shah Alam ingin mengucapkan selamat menyambut Ramadhan 1436H, Semoga bulan Ramadhan yg bakal mendatang ini sempat kami berjumpa dengan nya dan bukan lah jugaRamadhan terakhir bagi kami...Amin
Didalam kita berseronok dgn kedatangannya, marilah kita memantapkan ilmu Akidah Ahlusssunnah waljamaah Salaf,Khalaf,Asyairah & Maturidiyyah krn akidah yg benar adalah syarat diterima solat,puasa,haji,zakat dan semua amal ibadah kita, disamping kita memperkukuhkan lagi Ilmu2 hukum hakam berkaitan dengan puasa Ramadhan agar ia di terima oleh Allah...Mendalami Syarat dan Rukun Puasa memgikut mazhab Al-Syafie disamping menghormati Mazhab2 yg lain.
Kerana sesuatu Amal Ibadah yg dilakukan hanya dengan semangat dan seronok semata-mata tanpa Ilmu maka ia akan membatalkan sesuatu Amal Ibadah itu,Jadilah Ahli Ibadah yang ada Ilmu dan bukannya tanpa Ilmu.
Akidah Islam"Allah Ada Tanpa Tempat"
Sila baca risalah Ramadhan ini utk rujukan dan tambah nilai yg berkaitan ilmu Akidah dan puasa.
Risalah Ramadan
[siri 1, Ramadan 14356 H]
PANDUAN RINGKAS IBADAH PUASA
بسم الله الحمن الرحيم
الحمد لله رب العالمين، له النعمة وله الفضل وله الثتاء الحسن. والصﻻة والسﻻم على سيدنامحمد اﻷمين، وعلى ءاله وأصحابه الطيبين.وبعد
Segala puji itu tertentu bagi Allah tuhan semesta alam.
Selawat dan salam buat Rasulullah yang membawa cahaya bagi menerangi kelam,juga buat keluarga dan para sahabat Baginda yang ibarat bintang di langit malam,
Definisi Puasa
Puasa ialah menahan diri dari perkara-perkara yang membatalkan puasa dari terbitnya fajar sadiq hingga terbenamnya matahari dengan niat.
Cara Menentukan Awal Ramadan
Awal Ramadan ditentukan dengan melihat hilal (anak bulan) di ufuk barat selepas terbenamnya matahari hari 29 Syaaban iaitu pada waktu Maghrib. Jika hilal kelihatan maka bermulalah 1 Ramadan dan Syaaban hanya 29 hari. Jika hilal tidak kelihatan maka wajib mengenapkan bulan Syaaban dengan 30 hari.
Syarat-syarat Wajib Puasa
Puasa diwajibkan ke atas setiap;
muslim yang
baligh,
berakal dan
mampu berpuasa.
Oleh itu, puasa tidak sah untuk dilakukan oleh orang kafir asal dan juga orang murtad. Selain itu, puasa juga tidak sah untuk dilakukan oleh perempuan yang sedang mengalami haid atau nifas.
Puasa tidak diwajibkan ke atas kanak-kanak. Meskipun begitu, ibu bapa atau penjaga diwajibkan supaya mengajar dan menyuruh anaknya berpuasa selepas genap berusia tujuh tahun. Seterusnya, apabila genap usia sepuluh tahun maka anak itu hendaklah dipukul oleh ibu bapa atau penjaga kerana meninggalkan puasa dalam keadaan dia mampu berpuasa dan si anak itu tidak wajib mengqada'kan puasa yang ditinggalkan itu. Demikian juga puasa tidak diwajibkan ke atas orang gila dan tidak wajib mengqada'kan puasa yang ditinggalkannya.
Selanjutnya, puasa yang dilakukan secara tunai tidak diwajibkan ke atas orang sakit yang jika puasa boleh memudaratkannya, tetapi dia diwajibkan qada' puasa pada hari yang lain selepas sihat. Selain itu, puasa tunai juga tidak diwajibkan ke atas orang yang bermusafir dengan perjalanan sejauh dua marhalah, tetapi dia diwajibkan qada' puasa jika dia meninggalkan puasa. Musafir yang mahu meninggalkan puasa hendaklah keluar dari kampungnya sebelum terbitnya fajar dengan niat bermusafir.
Puasa juga tidak diwajibkan ke atas orang tua yang tidak larat berpuasa iaitu yang dibimbangi kebinasaan dan kematian.
Rukun-rukun Puasa
Niat; iaitu tempat niat ialah di dalam hati dan masa niat bagi puasa fardu atau wajib ialah dari terbenamnya matahari sehingga sebelum terbitnya fajar sadiq. Niat puasa fardu Ramadan wajib pada waktu malam bagi setiap hari dalam bulan Ramadan dengan menentukan jenis puasa. Puasa tidak sah tanpa niat di dalam hati, tetapi puasa tetap sah tanpa lafaz niat dengan lidah jika sudah diniatkan di dalam hati.
Perempuan yang terputus darah haid atau darah nifas pada waktu malam hendaklah berniat untuk berpuasa untuk hari esok meskipun dia belum mandi wajib. Ini kerana mandi wajib adalah syarat sah solat bukannya syarat sah puasa. Perbuatan makan, tidur dan jimak selepas niat dan sebelum terbitnya fajar tidak membatalkan niat dan puasa.
Sesiapa tidur pada waktu malam dan dia belum berniat untuk berpuasa hingga dia sedar selepas terbitnya fajar, maka dia diwajibkan menahan diri dari perkara-perkara yang membatalkan puasa dan diwajibkan qada' puasa yang ditinggalkan itu.
Menahan diri; iaitu menahan diri dari perkara-perkara yang membatalkan puasa dari terbitnya fajar sadiq sehingga terbenamnya matahari.
Perkara-Perkara Yang Membatalkan Puasa
Memasukkan sesuatu benda dengan sengaja ke dalam rongga sama ada rongga untuk makanan dan selainnya kecuali mata. Batas rongga-rongga tersebut adalah seperti berikut;
Mulut; tempat keluar huruf ha' (ha' pedas) seperti menelan sesuatu walaupun sedikit sehingga melampaui tempat selepas tempat keluar huruf ha' kecuali air liurnya yang sedia ada di dalam mulutnya. Jika air liurnya dikeluarkan ke luar mulut kemudian dia menelannya maka puasanya batal.
Hidung; khayshum, iaitu hujung hidung di tempat yang ada tulang. Jika sesiapa memasukkan sesuatu ke dalam hidungnya hingga sampai ke khayshum maka puasanya batal.
Telinga; lubang telinga.
Kemaluan; had qubul lelaki ialah suatu yang melampaui tempat keluar (lubang) air kencing, dan had qubul perempuan ialah suatu yang melampaui farajnya seperti keadaan farajnya ketika duduk di atas dua kakinya untuk buang air. Had dubur ialah suatu yang melampaui bahagian yang terbuka ketika istinjak meskipun sedikit.
Jimak.
Mengeluarkan air mani dengan sengaja seperti beronani.
Keluar darah haid dan nifas.
Muntah dengan sengaja.
Hilang akal walaupun seketika.
Pengsan keseluruhan siang.
Murtad, iaitu dengan salah satu daripada tiga sebab berikut:
pegangan yang kufur seperti beriktikad bahawa Allah berada di atas langit atau duduk di atas Arasy (inilah akidah Wahabi Mujassimah), atau
perbuatan yang kufur seperti memijak al-Quran atau sujud terhadap berhala, atau
perkataan yang kufur seperti perkataan yang menghina Allah, para nabi dan rasul-Nya, kitab-kitab-Nya dan semua yang bersangkutan dengan hukum dan syiar Islam. Contohnya, kata-kata ini: "Allah pun letih juga", "Cintaku kepadamu melebihi cintaku kepada Nabi", "Al-Quran ketinggalan zaman", "Solat lima waktu tidak wajib" dan "Hukum Allah tidak sesuai pada zaman sekarang"
Tuntutan-tuntutan Ke Atas Orang Yang Tidak Berpuasa (Bulan Ramadan)
Qada' sahaja ke atas;
orang yang tidak puasa atau membatalkan puasa dengan sengaja (tidak lupa) tanpa sebarang keuzuran dan bukan kerana jimak,
orang yang puasanya terbatal kerana haid dan nifas,
orang yang tidak berpuasa ketika dalam perjalanan yang jauh,
orang yang tidak berpuasa kerana sakit yang masih diharapkan sembuh,
wanita yang hamil atau yang menyusu yang tidak berpuasa bukan kerana bimbang terhadap anaknya seperti untuk kemudahan dalam perjalanan, atau tidak berniat sesuatu pun, atau kerana bimbang terhadap dirinya sendiri.
Qada' dan fidyah ke atas;
perempuan hamil yang meninggal puasa kerana bimbang terhadap anaknya,
perempuan menyusu yang meninggalkan puasa kerana bimbang terhadap anaknya.
Fidyah sahaja ke atas;
orang tua yang tidak mampu berpuasa atau puasa membawa kepada kesulitan yang bersangatan,
orang sakit yang tidak diharapkan sembuh.
Qada' dan kaffarah ke atas lelaki yang bersetubuh pada siang Ramadan secara sengaja dengan ikhtiarnya dalam keadaan ingat kepada puasa meskipun air mani tidak keluar.
Definisi Qada', Fidyah dan Kaffarah Puasa:
Qada' puasa; mengantikan puasa yang pernah ditinggalkan atau puasa yang pernah batal pada hari di luar Ramadan.
Fidyah puasa; mengeluarkan satu cupak (satu mudd) makanan asasi bagi sesuatu negara bagi setiap hari puasa Ramadan yang ditinggalkan dengan sebab-sebab yang tertentu..
Kaffarah puasa; denda ke atas lelaki yang bersetubuh dengan sengaja pada siang Ramadan dengan membebaskan hamba mukmin sama ada lelaki atau perempuan. Jika tidak mampu, maka dia hendaklah berpuasa dua bulan berturut-turut tidak termasuk hari puasa yang diqada'kan. Jika tidak mampu berpuasa maka dia hendaklah memberi makan kepada enam puluh orang miskin; iaitu bagi setiap seorang miskin satu cupak makanan asasi.
Beberapa Kelebihan Bulan Ramadan
Ramadan adalah penghulu segala bulan yang ibadah puasa difardukan padanya.
Bulan yang al-Quran diturunkan padanya sekaligus di Baytul-^Izzah di langit dunia.
Segala pintu syurga dibuka dan segala pintu neraka ditutup.
Syaitan dibelenggu.
Awal Ramadan adalah rahmat, pertengahannya keampunan dan akhirnya pembebasan dari neraka.
Sebarang amalan sunat diganjarkan dengan amalan fardu di bulan yang lain, manakala satu amalan fardu diganjarkan dengan tujuh puluh amalan fardu di bulan yang lain.
Pada Ramadan ada Malam al-Qadar (Laylatu`l-Qadr) yang lebih baik daripada seribu bulan.
Suatu Nasihat
Sambutlah Ramadan kerana iman dan dengan ilmu, bukan sekadar adat kebiasaan. Jadikanlah Ramadan sebagai tetamu teristimewa yang menjengah kita setahun sekali. Oleh itu, hormatilah "tetamu teristimewa ini" dengan bertaqwa kepada Allah iaitu dengan melakukan suruhan Allah (terutama yang wajib) dan meninggalkan larangan-Nya (terutama yang haram).
Antara suruhan Allah yang wajib ialah menuntut ilmu (terutama ilmu agama). Oleh itu, janganlah pula menjadikan puasa atau keletihan berpuasa sebagai alasan untuk tidak menghadiri majlis ilmu agama. Ingat! Sesuatu ibadah itu - termasuk puasa - tidak sah jika diamalkan tanpa ilmu yang dipelajari daripada guru. Seseorang yang berpuasa itu wajib mempelajari dan mengetahui syarat wajib dan rukun puasa serta perkara yang membatalkan puasa dan pahala puasa.
Seterusnya, meriahkanlah Ramadan dengan membanyakkan ibadah bukannya dengan membanyakkan juadah. Ramadan adalah suatu tempoh latihan untuk kita mengurangkan kecap nikmat dunia dan mengutamakan nikmat syurga.
"Bulan Ramadan sangat istimewa
Bagi mereka yang bertqwa,
Pahala berganda dapat dibawa,
Di syurga nanti gembira ketawa…"
"Bagi mereka yang utuh aqidah,
Ramadan disambut tanpa bergundah,
Bahkan gembira dengan ibadah,
Bukannya ghairah dengan juadah…"
WaLlahu a^lam…
[Disediakan oleh: Tn Hj Ahmad Hafiz Al-Bakaniyy
Pengetua Pusat Pendidikan Islam Ar-Rifaie Shah Alam Selangor.
Tel: 019-9328339 / 019-2813656
Email: arrifaieislamic@yahoo.com
FB: Pusat Pengajian Islam Ar-Rifaie / Alwi Al-Bakaniyy / ustazhajiahmadhafiz ]



No comments:

Post a Comment